Salam, please share this. Siapa yang saya tagged, minta tolong share. Terima kasih. Nukilan seorang yang bernama Reen yang memerlukan bantuan anda. Diharapkan kisah saya ini dapat dijadikan teladan dan ada pihak di luar sana sedia membantu saya dari segi sokongan moral dan emosi. Juga membantu proses penceraian dan harap ada yang sudi membantu jika ada tempat yang sesuai untuk saya dan anak-anak meneruskan hidup dan bekerja atas kudrat yang ada.
Selepas suami melafazkan taklik, kami pergi ke pejabat agama untuk memfailkan kes cerai. Tetapi suami enggan mengaku berniat atas sebab bayaran denda yang dikenakan, juga prosedur seorang navy yang merumitkan, kena pergi report ke kagat dan sebagainya. Lalu suami buat keputusan meskipun telah bercerai, boleh saja duduk bersama, jalani hidup bersama-sama. Ini kerana dia lebih mementingkan maruah dia di base agar semua orang nampak dia elok dan baik.
Saya nekad untuk berpisah dengannya kerana selama bertahun-tahun hidup, fizikal dan mental saya seringkali disakiti, dimaki, dihina dan dipukul. Perlukah saya bertahan jika anak-anak juga menjadi mangsa amarahnya? Saya tidak sanggup lagi.
Si suami amat berkira tentang soal makan, minum dan pakai kami, waima seringgit dua pun. Soal dihina, dikasari sudah menjadi makanan harian saya. Di mata orang, mereka menganggap saya amat bertuah memiliki suami yang lembut tutur katanya, rajin membantu orang, murah senyuman dan peramah dengan orang tua. Tetapi hakikat yang sebenarnya, dia hanya menutupi cela dia sahaja. Jika dengan keluarganya sendiri, habis dimaki hamun, sifat pemalasnya terserlah, pakaian dipunggah dan diselerakkan satu rumah, pengotor, malah soal solat memang tidak pernah dibuat. Dia juga tidak reti mengaji, jahil soal agama dan sebab itulah dia tidak takut pada hukum Allah. Mencuri dan menjual barang tentera seringkali menjadi suapan kami sekeluarga.
Keesokan hari selepas ditaklik, dia mengurung saya dan anak-anak agar kami tidak dapat melarikan diri. Tetapi saya sudah siap packing segala barang dalam dua buah beg besar. Saya minta pertolongan dari seorang sahabat untuk melarikan saya. Sampai satu saat dia keluar, pantas saya dan anak-anak lari menyelamatkan diri dari menjadi mangsa pukulnya lagi.
Baru 10 minit lari dari rumah, dia menelefon saya tanpa henti. Namun saya tidak mengendahkan panggilannya langsung. Sahabat saya membawa saya lari dari Lumut ke Sitiawan. Kami menginap semalaman di situ. Saya merancang untuk ke rumah sahabat mama untuk meminta bantuan dan meninggalkan barang-barang yang ada sebab anda semua mesti faham dalam keadaan seperti ini, sukar dengan dua anak kecil lagi.
Malangnya, suami bertindak lebih pantas dengan menghubungi sahabat mama dan berlakon seperti tiada apa-apa yang berlaku. Saya saja yang bermain dengan perasaan. Seperti yang saya katakan dari awal, si suami sangat bijak berlakon. Jadi, sahabat mama saya memilih untuk mempercayai si suami dan dia mendedahkan di mana tempat penginapan saya.
Saya nekad melarikan diri dengan anak-anak pada waktu subuh dari Sitiawan ke Ipoh dengan berbekalkan sedikit kekuatan dan wang yang ada. Jam 6 pagi, saya memulakan perjalanan menaiki teksi ke Ipoh dan mengambil kereta api. Alhamdulillah semuanya lancar dengan bantuan orang sekeliling yang baik hati. Alhamdulillah juga anak-anak tak buat perangan.
Saya bawa diri ke rumah keluarga saya, malangnya suami lebih pantas bertindak dan menghasut mama agar tidak mempercayai saya. Bukan sokongan yang saya dapat, malah mama sendiri memilih untuk berada di sebelah pihak suami. Allahu. Jujur saya kecewa sebab saya tak punya sesiapa melainkan mama dan papa. Sahabat baik saya pula jauh, malah sahabat baik saya itu juga dicerca dan dihina oleh mereka. Mujur dia dan keluarga dia menyokong saya. Itu pun sudah memadai.
Setelah berada di sini, saya berusaha berulang alik ke pejabat agama, ke kem tentera di sini, ke kagat, ke mahkamah, balai polis dan sebagainya. Saya minta tolong papa dengan memberikannya sedikit upah. Setiap kali dia menolong saya, saya akan menghulurkan wang. Kalau tidak, pasti dia marah. Ya, saya faham dia pun tidak bekerja.
Laporan polis telah dibuat, segala laporan sudah dibuat tetapi malangnya si suami enggan mengaku melafazkan taklik. Tindakannya itu menyebabkan proses semakin sukar. Lebih teruk lagi, segala mesej ugutan dia terhadap saya telah dipadamkan. Bodohnya saya kerana tak menyimpan bukti penting seperti itu. Gambar kesan-kesan lebam saya dipukul itu sahaja yang saya ada namun tidak mencukupi. Bukti si suami banyak 'makan luar' juga tiada kerana si suami pandai menyembunyikan kegiatan terkutuknya itu.
Kini, saya cuma ada Allah dan anak-anak. Saya terpana dengan hidup saya. Selepas belajar terus berkahwin dan mengabdikan diri sepenuhnya demi suami dan anak-anak. Setiap kali saya masak atau buat minuman, saya akan dihina seperti
"Geli aku dengan masakan kau ni, macam tahiklah!"
Dan sememangnya dia tidak pernah menyentuh masakan saya atas alasan tak sedap. Ya, saya sedar saya buruk, tak lawa dan tak pandai memasak, Masa mengandungkan anak-anak, semuanya saya buat sendiri. Kalau saya jatuh sakit, saya puas dimakinya kerana saya dituduh mengada-ngada. Bukan itu saja, suami juga pernah memfitnah saya pada mama, kononnya saya ada lelaki lain, saya pemalaslah, dan segala perkara buruk dia hasut mama. Sayangkan mama tetap memilih untuk menyebelahi suami berbanding saya sendiri yang satu-satunya anak yang mama ada.
Mama berikan alasan yang dia malu dan tidak mahu jiran tertangga, saudara mara semua tahu yang saya berpisah. Malah mama kata, semua orang dah nampak betapa peramah dan rajinnya suami, cuma saya saja yang tak sedar diri untung. Tetapi mama tidak tahu bahawa itu semua hanyalah sandiwara si suami.
Jangan ada yang bertanya kenapa tidak meminta tolong mertua. Jujur dari awal perkahwinan, keluarga mertua tidak menyukai saya sebab saya buruk dan tidak bagus dan pelbagai lagi alasan mereka. Pelbagai perkara yang telah saya lakukan untuk mengambil hati mereka namun saya tetap dibenci.
Mama tetap marah saya dan mahu saya pulang ke pangkuan suami.
"Sekali pun kena maki dan pukul, suami 'makan luar', sebagai isteri kena pasrah sajalah Malulah kalau orang tahu kau bercerai berai macam aku dulu," dan macam-macam lagi mama cakap.
Disebabkan itu, saya nekad melarikan diri ke rumah keluarga angkat yang lebih selamat. Tetapi maka tahu saya akan lari ke situ kerana tiada tempat lain yang saya akan pergi.
Di depan ibu angkat saya mama berjanji kononnya dia akan mempertahankan saya sebab si suami mengugut saya melakukan fasakh, dia akan bawa lari anak-anak. Kalau saya balik ke Lumut, siap saya akan dikerjakannya. Juga kalau saya mahu dia lafazkan cerai di mahkamah, dia letak saya saya ada lelaki lain dan dia akan claim saya nusyuz. Ya Allah, takkan saya nak lepaskan anak yang kedua-duanya masih menyusu badan saya sepenuhnya? Mereka perlukan saya dan takkanlah saya mahu melepaskan mereka ke tangan si ayah yang tidak bertanggungjawab?
Ada banyak lagi sebab mengapa saya tidak patut bersama dia lagi. Saya tidak relah lagi dicekik, dipukul dan dihentak oleh dia lagi. Takkan saya nak biarkan anak-anak saya dipukul dan ditampar oleh bapa kandung mereka sendiri?
Mama pula tidak membantu dan menganggap ini semua adalah balasan tuhan kerana saya tidak berkahwin dengan lelaki pilihannya dulu. Ya, saya khilaf sebab buta dengan cinta, bodoh kerana terperdaya dengan lakonan si suami. Tetapi semasa bercinta dulu saya pernah dimaki dan disakiti tetapi saya bertahan dan berharap selepas berkahwin dia akan berubah.
Saya takut, saya takut suami akan mengheret kami anak beranak balik ke Lumut. Saya takut dia akan mengerjakan saya. Apa yang harus saya lakukan untuk menyelamatkan diri dan anak-anak? Saya dalam dilema, sebab itu saya minta pertolongan dan pandangan kalian sekiranya ada yang boleh membantu saya.
Pada masa ini, jalan yang saya boleh nampak ialah bekerja dan besarkan anak-anak bersendirian dengan kewangan yang semakin susut. Sekiranya ada rumah sewa murah, ada lubang kerja dan mudah saya cari pengasuh untuk anak-anak kecil ini, bantulah saya. Tidak banyak yang saya minta, hanya doa kalian agar saya kuat menghadapi dugaan hidup ini bersama dua anak kecil ini.
Saya tawar hati bekas suami enggan beri kerjasama, ditambah pula dengan keluarga yang tidak membantu. Apa lagi yang harus saya lakukan? Bantulah saya demi dua malaikat kecil ini. Tolong sebarkan, manalah tahu ada yang boleh membantu saya dalam ketakutan dan buntu pada ketika ini. - Reen
Akak ni sekarang kt mna sy blh tolong kak sbb kat sini ada tempat murah kalau nk sewa rumah and sy blh tolong jaga anak kak kak blh pergi kerja kat sini kerja kosong banyak insyaallah ni lh mungkin blh bantu kak
ReplyDeleteAkak ni sekarang kt mna sy blh tolong kak sbb kat sini ada tempat murah kalau nk sewa rumah and sy blh tolong jaga anak kak kak blh pergi kerja kat sini kerja kosong banyak insyaallah ni lh mungkin blh bantu kak
ReplyDelete