Kisah benar ini terjadi angkara ditipu oleh seorang suami yang mengaku dia belum pernah berkahwin. Ini akibatnya selepas apa yang dilakukan.
Saya pernah berkahwin dan suami saya meninggal dunia akibat barah otak, dua tahun lalu. Sepanjang perkahwinan, kami tidak dikurniakan cahaya mata. Sekarang saya berusia 24 tahun dan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki yang merupakan suami orang.
Pada awalnya, saya tidak tahu status sebenar lelaki ini. Kami berkenalan selama tiga bulan dan pada satu malam itu dia telah melamar saya. Saya pun setuju saja sebab dengan status saya sekarang ini pun, saya tak kisah sangat. Yang penting, dia menjaga saya dan sayang sayang sebaik mungkin.
Dua minggu sebelum tarikh perkahwinan tiba, dia membuat pengakuan pada saya bahawa dia sebenarnya sudah berkahwin. Isterinya kerja sebagai jururawat di Kuala Lumpur, manakala dia menetap di Perlis. Dia membuat pengakuan itu kerana tidak mahu terus menipu saya sebelum kahwin.
Hancur hati saya mengenang diri ini ditipu hidup-hidup selama ini. Kalaulah awal-awal lagi saya tahu dia suami orang, milik perempuan lain, saya tidak akan mengizinkan hati saya rapat dan mencintai dia. Patutlah dia beria-ria mahu membuat majlis perkahwinan kecil-kecilan sahaja.
Sekarang, saya sedang menjauhkan diri daripada dia. Panggilan, SMS dari dia semua tak dijawab. Dia jadi seperti orang gila mencari saya, merayu memohon maaf dan masih mahu memujuk saya berkahwin dengannya. Tetapi saya tidak mampu, saya rela hidup bersendirian daripada mengambil suami orang. Biarlah hati saya hancur, asalkan saya tidak merosakkan kebahagiaan kaum sejenis.
Saya bersyukur saya mendapat tahu perkara itu sebelum kami berkahwin. Dari situ saya dapat menilai siapa sebenarnya lelaki ini, ternyatalah dia bukan lelaki yang jujur. Untuk apa saya nak bersuamikan lelaki yang tidak jujur seperti ini?
Kepada wanita di luar sana, walaupun awak rasa awak cuma mahu menumpang kasih, bukan suami orang tempatnya. Kalau awak isteri pertama kepada suami awak, barulah awak rasa betapa peritnya dimadukan.
Arwah suami saya dulu selalu berpesan semasa dia terlantar sakit kritikal selama sebulan kerana kanser otak.
"Kalau apa-apa terjadi pada abang, awak carilah seorang lelaki yang sayang awak seperti mana abang sayangkan awak. Yang jujur, setia dan menjaga hubungan dengan tuhan,"
Pesanan arwah itu masih terngiang-ngiang fikiran sampai ke hari ini.
Lelaki itu bukanlah lelaki yang setia dan jujur. Saya tidak akan menerima dia dan sudah hampir tiga bulan saya tidak mengendahkannya. Namun setiap minggu itu jugalah dia masih datang mencari saya di tempat kerja. Dan setiap kali itulah saya beritahu dia yang saya tak sayangkan dia. Biarlah dalam hati saya masih sayangkan dia, tetapi saya bukan perampas.
InshaAllah saya dalam proses meminta pertukaran ke negeri lain. Semoga Tuhan mempermudahkan urusan saya dan hadirkanlah seorang lelaki yang lebih baik, sebaik arwah suami saya dulu. Mungkin ini dugaan Tuhan untuk saya, untuk mendapatkan kebahagiaan yang lebih besar suatu hari nanti.
0 comments:
Post a Comment