MUAR, JOHOR - Seorang lelaki maut ditikam isterinya dalam satu pertengkaran di rumah teres yang dijadikan stor di Jalan Indah 6, Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 3 petang, semalam, wanita terbabit dilaporkan terlalu marah kerana suaminya sudah tidak pulang ke rumah di Parit Bunga, Tangkak, sejak beberapa hari lalu.
Pertengkaran pasangan itu boleh didengari oleh jiran-jiran di sekitar, namun tiba-tiba senyap menyebabkan jiran-jiran datang ke rumah dan melihat mangsa sudah terbaring di ruang tamu dengan suspek yang terduduk tidak jauh dari suspek.
Mangsa, Mohd Firdaus Md Salehuddin, 28, bekerja sebagai pemotong ayam di Pasar Besar Muar, ditemui terbaring di ruang tamu premis majikannya itu dengan kesan tikaman di dada, manakala isterinya berada di kawasan berhampiran.
Ibu mangsa, Rohani Sharif, 57, hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan oleh besannya pada jam 2.30 petang. Dia kemudian pergi ke tempat kejadian dan mendapati polis sudah berada di lokasi kejadian, sebelum dimaklumkan anak sulung daripada tiga beradik itu telah meninggal dunia.
"Kali terakhir saya bertemu dengan arwah Mohd Firdaus, pada Jumaat minggu lalu. Biasanya sayda dan suami akan ke pasar berjumpa dengannya.
"Dalam pertemuan terakhir kami, saya menemaninya makan dan menasihati dia agar bersabar kerana bernikah dengan perempuan berusia 17 tahun.
"Saya katakan padanya juga supaya pandai menjaga isteri yang masih muda. Kalau ada apa-apa, dia selalu penjaga yang bertanggungjawab. Tetapi Jumaat lalu (semalam), apabila ke pasar, saya dan suami mendapati dia tiada di tempat kerja. Malah sukar untuk menghubungi telefon bimbitnya," katanya.
Menurut Rohani, menantunya itu juga ada menghubungi dia bertanyakan sama ada suaminya balik ke rumahnya kerana sudah dua hari tidak pulang ke Tangkak.
"Saya beritahu menantu bahawa arwah tidak balik. Kami redha dengan apa yang berlaku dan tidak mahu menghukum sesiapa pun.
"Kalau betul dia (menantu) yang buat, itu antara dia dengan Allah SWT. Biar Allah SWT yang tentukan. Nak cakap apa-apa pun susah," katanya.
Jenazah arwah Mohd Firdaus akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu Enam, Muar, selepas selesai proses bedah siasat.
Sementara itu, Polis Muar menahan perempuan berusia 17 tahun itu selepas mengaku membunuh suaminya sendiri. Polis juga turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
"Hasil siasatan, suspek mengaku membunuh suaminya itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
0 comments:
Post a Comment