Sunday, 8 October 2017

Filled Under:

Kisah Sebak Dari Gadis Ini Baru Dapat Tahu Selepas 4 Hari Kematian Ibunya



Ibu adalah insan paling istimewa dan paling rapat dalam hidup kita. Tingginya darjat seorang ibu sehingga kita dituntut untuk patuh kepada ibu. Namun, sebagai insan biasa kita tidak dapat lari dari membuat kesalahan dan mungkin kesalahan tersebut telah melukakan hati ibu kita.

Perkongsian kisah seorang gadis bernama Lia membuatkan ramai dari kita sebak. Semoga kisah gadis ini menjadi iktibar pada kita semua dan sementara yang masih ada ibu segeralah meminta maaf agar tidak menyesal kemudian hari.

‘4 Hari Dah Meninggal Baru Diberitahu’

Sedang duduk diam memikirkan takdir perjalanan hidup penghuni Baitus Solehah, terdengar deringan bunyi telefon. Khabar dukcita disampaikan oleh pemanggil. Memaklumkan emak seorang penghuni telah meninggal dunia. Pemanggil menyampaikan pesanan setelah 4 hari emak meninggal dunia.

Masih ingat lagi, Seminggu selepas emaknya menghantar ke Baitus Solehah, emaknya pulang ke kampung dan meninggal dunia. Terasa tergiang lagi pesanan emaknya kepada saya saat meninggalkan anak bawah jagaan saya.

“ummi, jagalah anak saya seperti anak ummi ya, nasihati dia, marahi dia, berilah tunjuk ajar pada dia.”

Sebak hati saya mendengar pesanan seorang emak. Makin sebak saya apabila dimaklumkan emak itu telah meninggal dunia. Maka yatim piatulah gadis itu. Yang ada cuma adik beradik saja lagi.

Sepanjang di Baitus Solehah, tidak pernah sekalipun adik beradiknya datang melawat. Khabaran emak meninggal dunia pun hanya diketahui 4 hari selepas dikebumikan. Adik beradik ikut pesanan emak, kalau dia meninggal jangan benarkan adik balik.

Emak tidak mahu adik balik ke rumah melihat jenazah emak buat kali terakhir dimana nanti aib dan maruah emak bapak yang sudah meninggal dunia tercemar. Ketika itu kandungan gadis ini sudah 7 bulan, sudah kelihatan perubahan fizikal seorang yang sedang mengandung.

‘Saya Lukakan Hati Mak’

“Sampai hati kakak tak nak bagitahu saya emak meninggal dunia. Ummi, saya dah takde emak. Saya berdosa pada emak. Saya lukakan hati emak. Saya tak sempat bahagiakan emak. Emak, ampunkan Lia mak, Tuhan ampunkan dosa aku dan dosa emak.” Mengogoi pelatih ini menangisi pemergian emaknya ke alam barzakh. Sedih tidak terkira. Saya peluk dia dan usaha menenangkan dia.

“Bukan ke hari tu, masa emak nak balik, Lia dah minta ampun pada emak, dah salam dan peluk emak. Tentu emak dah ampunkan dosa Lia.”

“Emak, sian emak, bawa hati luka dan kecewa dengan Lia sampai mati. Emak, emak…” kekesalan yang tidak terhingga kerana telah mengecewakan emaknya.

“Entah mak maafkan atau tidak Lia ni. Lia tahu emak kecewa sangat sangat hari tu bila tahu Lia mengandung. Emak kata, emak gagal didik Lia sedangkan Lia yang degil tak dengar nasihat emak. Lia yang salah, Lia yang tak ikut nasihat emak jangan berkawan dengan lelaki ni.” Dalam sedih meratap masih bercerita.

‘Bertaubat Sebelum Terlambat’

Begitulah hukuman kecil kepada gadis terlanjur. Hukuman kecil yang terpaksa dilalui. Hinggakan emak meninggal dunia pun dilarang pulang menziarahi, apatah memberi ciuman terakhir sebelum dikuburkan.

Bukan Baitus Solehah yang melarang, tetapi keluarga sendiri yang menahan. Bukan setakat itu, banyak lagi hukuman-hukuman kecil yang terpaksa dijalani sepanjang berada dimana-mana rumah perlindungan. Ingin keluar bersiar-siar, ingin menggunakan media komunikasi , menonton siaran tv yang hasrat itu perlu diketepikan.

Tarbiyah yang dijalani menyebabkan kekangan masa untuk bersantai-santai. Aktiviti rutin harian yang padat mengekang masa untuk bersenang senang.

Lia tidak berhasrat memberikan anaknya kepada sesiapa pun,walaupun keputusan SPMnya bagus. Saya menggalakkan dia menyambung pelajaran ke IPT.

Moga-moga saudara perempuannya yang ramai sudi membantu dia memelihara anaknya disamping meneruskan penggajiannya nanti.

Satu kesilapan yang dilakukan bukan bermakna kegagalan. Peluang bertaubat yang Allah berikan, tarbiyah yang dijalani selama berada di Baitus Solehah, moga-moga menjadikan dia matang dalam membuat pilihan dan terpimpin melangkah di jalan yang lurus.

Menyesal dahulu , ambik pengajaran, ambik pelajaran lebih baik dari menyesal kemudian dan kekesalan itu terus bertandan sepanjang hayat. Dakwah dan peringatan telah sampai, kenapa mesti degil? Bertaubat sebelum terlewat.




0 comments:

Post a Comment

babab.net