Friday 19 May 2017

Filled Under:

'Maaf ustazah, saya hanya mampu sediakan duit belanja harian anak-anak ke sekolah' - Ibu Huda

Sambungan kisah adik Huda Batrisya dari Ustazah Jamaliah Amirul

ADIK HUDA & HADIAH HARI GURU DUIT TABUNG RM0.70 SEN

Assalamualaikum dan selamat petang semua yang menanti wajah adik Huda. Yang mesej saya supaya saya selfie dengan adik Huda, hari ini saya kotakan janji saya pada anda semua. Kenalkan, inilah adik Huda Batrisya binti Syahful Nizam.

Kisah hari ini saya ingin sampaikan.

18/05/2017, hari Khamis, setibanya saya di sekolah, saya tercari-cari Huda. Dalam perhimpunan, baru ternampak Huda duduk bersama rakan-rakannya. Nampak wajah yang sugul. Selepas perhimpunan, sesi solat zuhur berjemaah. Selesai solat, saya berbisik pada Huda.

"Huda, nanti waktu rehat datang jumpa ustazah di kantin.''

Huda anggukkan kepalanya.

Selepas solat, terus rehat. Saya tertunggu-tunggu kehadiran Huda. Dia tak datang jumpa saya. Mungkin dia malu. Lalu saya menyuruh kawannya memanggil dia. Dia datang pada saya dengan wajah yang tunduk.

"Huda dah makan?" tanya saya.

"Dah makan ustazah, pagi tadi," jawabnya.

"Awak makan apa pagi tadi?" tanya saya.

"Makan roti dengan air," jawabnya.

"Kenyang ke?"

Huda hanya sekadar menganggukkan kepala. Saya ajak Huda ke kantin.

"Ustazah nak belanja awak, pilihlah nak nasi lauk apa," kata saya pada dia.

Pada awalnya dia agak segan dan malu-malu. Saya kata tak apa, pilihlah nak ayam masak apa. Perlahan-lahan jari dia tunjuk pada ayam masak merah.

"Huda nak berapa?" soal saya yang dibalas dengan telunjuk satu jari.

"Nak lauk lain tak?"

Huda gelengkan kepala, "Cukuplah ustazah.".

Saya belikan air sekali. Seronok tengok dia makan.

Bila masuk ke kelas, selesai salam dan doa, saya panggil Huda dan tunjukkan duit syiling dan kertas yang dia tulis ada dalam bingkai gambar. Pada mulanya dia tersenyum malu. Bila Huda di depan saya, saya ceritakan kisah Huda dalam kelas. Tak sangka ada murid lelaki yang bergenang air mata. Murid perempuan ada yang menitiskan air mata.


Bila saya pandang Huda, merah matanya. Saya peluk dan beritahu yang saya amat terharu dan menghargai pemberiannya. Lagilah dia menangis dan pandangannya hanya tertumpu pada bingkai gambar itu sahaja.

"Ustazah sangat terharu dan terfikir, ustsazah baru awal tahun 2017 mengajar Huda. Ada ramai lagi guru-guru pagi dan guru-guru petang yang lain untuk kamu berikan hadiah. Tetapi kamu pilih ustazah. Ustazah menangis fikirkan kamu beri ustazah duit syiling dari tabung kamu sendiri," jelas saya.

Huda hanya diam membisu.

"Boleh tak ustazah nak ambil gambar dengan Huda?Ramai yang nak tengok wajah Huda," pujuk saya.

Dia tersenyum tanda setuju. Alhamdulillah dapat pujuk Huda yang sangat pemalu orangnya untuk ambil gambar bersama.


Selepas Huda duduk di tempatnya, datang seorang murid bernama Irdina Asyirah menuju ke arah saya.

"Ustazah, boleh tak saya nak bagi Huda RM5?"

"Kenapa awak nak bagi pada Huda?" soal saya.

"Saya sedih dengar ustazah cerita tentang Huda. Huda kan susah. Saya nak bagi duit saya pada Huda," katanya.

Allah, bersyukur saya dikelilingi anak-anak syurga yang sangat pemurah. Walaupun kelas saya adalah kelas yang hujung. Untuk mudah faham, kelas yang anak-anaknya kurang minat dengan belajar. Murid yang nakal.

 Ya Allah, Kau berikanku hikmah dengan berada bersama murid-murid ini. 

Selepas kisah Huda viral di media sosial, saya menghubungi ibu Huda dan menceritakan anaknya ada memberi saya hadiah hari guru menggunakan duit tabungnya sebanyak 70 sen. Ibunya terus menangis.

"Huda memang ada minta dengan saya kalau ada barang-barang yang saya dah tak nak lagi," kata si ibu membuatkan hati saya tersentuh sangat-sangat.

 Ibu, ibu ada tak barang yang ibu tak nak guna dah? Huna nak bagi hadiah pada ustazah


Semasa diajukan soalan itu, ibu Huda hanya mendiamkan diri dengan hati yang sedih.

"Maaf ustazah sebab saya tak beri Huda bawa hadiah," katanya.

"Eh puan, kami guru bukan hadiah yang diminta. Cukuplah anak-anak murid yang bagus dan menghargai kami seperti apa yang anak puan lakukan ini," kata saya.

Ibunya terus menangis kerana tidak dapat menunaikan permintaan anak perempuannya itu.

"Saya hanya mampu sediakan duit belanja harian anak-anak ke sekolah. Untuk benda-benda sampingan, saya tak ada duit, ustazah," katanya lagi.

Allahu, sebak saya mendengarnya.

"Saya susah hati fikirkan puasa dah dekat. Fikirkan persiapan raya anak-anak macam mana saya nak sediakan. Suami saya sebelum ini bekerja sendiri ambil upah pasang lampu dan kipas, pasang aircond. Tetapi tahun ini tak ada kerja lagi katanya," jelas ibu Huda.

Untuk pengetahuan, gaji ibu Huda sebulan RM800 lebih setelah ditolak EPF dan cuti. Huda ada enam adik beradik dan lima daripadanya bersekolah.

Umur anak:
  • 14 tahun (lelaki)
  • 11 tahun (lelaki)
  • 10 tahun (Huda)
  • 8 tahun (lelaki)
  • 5 tahun (lelaki)
  • 2 tahun (lelaki)

Inilah serba sedikit info keluarga Huda yang saya tahu. Keluarga ini tinggal di Taman Panchor Jaya, Seremban.

Untuk makluman, saya tidak berniat sesuatu apa pun, sekadar berkongsi kisah saya di hari guru 2017. Terima kasih kepada yang berhajat menghulurkan bantuan. Ibu Huda meminta saya sampaikan kepada anda, dia mendoakan semoga Allah panjangkan umur anda dan murahkan rezeki anda. Hanya Allah jualah yang membalas budi anda semua.

Mungkin saya hanyalah orang perantara yang diaturkan oleh Allah untuk rezeki Huda dan keluarganya. 




0 comments:

Post a Comment

babab.net